28 Februari 2013

Majlis Gotong Royong Membersih Masjid

Satu majlis gotong royong untuk membersih masjid Kampung Batu Tumboh telah diadakan pada hari Jumaat, 22 Februari 2013. Majlis yang dianjurkan bersama oleh JKKK dan AJK Masjid ini telah dimulakan pada jam 8.30 pagi dan berakhir pada jam 11.00 pagi. Lebih daripada 20 orang AJK JKKK dan Masjid bersama dengan penduduk sekitar telah mengambil bahagian termasuk 6 orang remaja. Kesemua yang hadir adalah lelaki.
Program ini memberi tumpuan untuk membersih di bahagian dalam masjid dan bahagian luar masjid. Bahagian dalam melibatkan kerja-kerja memberi permaidani, kipas, tingkap dan mimbar. Sementara kerja-kerja di bahagian luar melibatkan membersih tandas, longkang, membersih rumput di kiri dan kanan masjid dan memangkas pokok hiasan.

Tuan Haji Wan Zaharuddin bin Wan Nawi, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Masjid, telah mengetuai kerja-kerja membersih di bahagian dalam masjid. Sementara Encik Mohamad bin Mohd Nor, Pengerusi JKKK telah menjalankan tugas sebagai ketua untuk kerja-kerja di bahagian luar masjid. Ini merupakan satu kerjasama "Menang-Menang" antara kedua-dua organisasi di kampung ini.
Seperti program-program yang lain, semua yang hadir dihidangkan dengan minuman dan makanan yang disediakan oleh Jawatankuasa Masjid. Sambil minum dan makan, sambil bertukar-tukar maklumat, pandangan dan idea untuk mengimarahkan lagi masjid. Suasana sungguh ceria. Semua yang hadir kelihatan gembira. Maklumlah baru saja menjalankan amar maaruf. Hati sudah tentu mendapat ketenangan.






Tiada ulasan: