Kampong Batu Tumboh adalah
sebuah kampung yang terletak di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Putera,
Parlimen Besut, Terengganu. Semua penduduknya adalah orang Melayu. Penduduk
asalnya merupakan golongan petani, pesawah dan bekerja sendiri seperti tukang
rumah. Tahun demi tahun, bilangan penduduk kampung ini mengalami pertambahan.
Penduduk yang baru datang terdiri daripada kakitangan kerajaan yang membeli
tanah lot perumahan. Sebahagian besar daripada mereka adalah guru. Sekarang ini,
kelihatan rumah-rumah banglo berdiri megah di atas tanah yang dulunya paya gelam.
Kedudukannya yang strategik
merupakan faktor utama ramai pegawai kerajaan membeli tanah lot perumahan di
kampung ini. Jaraknya dari pekan Kampong Raja, Pusat Pentadbiran Daerah Besut
hanya 5 km sahaja. Sekolah Kebangsaan Tengku Mahmud 2 menjadi salah satu mercu
tanda kampung ini. Beberapa buah sekolah menengah seperti SMK Tengku Mahmud, Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Mahmud 2 dan Sekolah Menengah Kebangsaan Nasiruddin Shah hanya terletak 3 km daripada kampung ini.
Terdapat dua buah sekolah menengah agama iaitu Sekolah Menengah Agama Maarif (
jaraknya 5 km) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Nurul Ittifaq (7 km) yang
menawarkan kemudahan belajar kepada anak-anak penduduk kampung ini. Institut Kemahiran MARA (IKM) Besut terletak hanya 1km dari kampung ini. Pusat Giat MARA pula dibina berdekatan dengan IKM. Bank Muamalat Cawangan Besut hanya terletak 2.5km dari kampung ini. Pasaraya SuperMas berdiri megah berdekatan dengan Bank Muamalat.
Kampung ini juga menjadi pilihan golongan yang penting. YB Tuan Haji Mohamed Pehimi bin Haji Yusof, ADUN Kota Putera mendirikan banglo di sini. Bekas EXCO, Tuan Haji Wan Mohd bin Wan Hassan juga mendirikan banglonya di kampong ini. Tukang emas yang terkenal di Bandar Jerteh, Tuan Haji Zahari bin Che Pa dan adiknya, Tuan Haji Sukeri bin Che Pa juga memilih kampung ini untuk membina mahligai idaman mereka. Dr Sazali (lebih mesra dengan panggilan Dr Pak) juga mendirikan banglo di hadapan masjid kampung ini.